Tuesday, October 6, 2009

Kucing...

Badannya kurus menampakkan tulang rangkanya yang kecil.Matanya mulai tertutup.Jalannya seolah-olah merangkak.Dia sakit barangkali. Bila dipegang, dia menjilat-jilat seperti sangat kelaparan. Rasa kasihan menebal. Aku mendakap anak kucing yang bewarna keperang-perangan itu. Tiba-tiba muncul seekor kucing betina dan seekor anaknya dari celah meja di pasar itu. Sekilas pandang dapat ku agak bahawa itu ibu kepada anak kucing yang kudakap. Hati mula berbelah bagi, hendak ambil atau tinggalkan semula anak kucing tersebut. Aku renung ibu kucing yang uzur tu. Badannya menggeleber. Matanya hampir tertutup. Sakit juga barangkali. Anak kucing yang di sebelahnya, warna keperangan, mungkin saudara anak kucing yang kudakap tadi. Macam mana ni?Aku berfikir. Tubuh kurus dan mata daif terus memandang seolah-olah merayu.

Akhirnya, aku ambil anak kucing yang aku dakap tadi. Alasannya, anak kucing itu lebih kurus dan lebih lemah berbanding anak kucing yang ada bersama ibunya. Pada fikiranku, biarlah ibu kucing itu menjaga anaknya yang lagi seekor. Aku yakin, dengan makanan dan perlindungan yang aku sediakan nanti, mesti anak kucing itu sihat kembali. Sampai di rumah, aku terus sediakan makanan, air dan tempat tinggal untuknya. Hatiku senang melihatnya yang sedang berehat di dalam sangkar. Aku pasti, dia hampir selamat. Insya Allah.

Selang beberapa hari, matanya masih lagi tertutup. Badannya masih tiada perubahan. Hari berikutnya, aku mendapati dia telah mati. AKu terdiam. Sedangkan di rumah yang lengkap dengan makanan dan perlindungan pun boleh mati, apatah lagi di pasar, aku rasa tentu ibu dan saudaranya mengalami nasib yang sama.

Rasa ingin tahu telah membawa aku ke pasar semula. Itupun setelah 2 bulan lebih berlalu. Aku terkejut. Kelihatan anak saudara kepada kucing yang aku ambil sedang berlari riang bersama ibunya. Badannya sihat, segar dan gemuk. Hatiku terhiris,menyesal dan bersalah. Ternyata aku bersalah kerana 'memisahkan' anak kucing itu daripada saudara dan ibunya.

Aku lupa, binatang pun perlukan kasih sayang..Itu baru anak kucing..Bagaimana dengan manusia???

*dipetik dari buku Nota Hati Seorang Lelaki, karya Pahrol Mohd.Juoi

1 comment:

  1. hg pny post kali ni mcm crita aku jugak.
    bulan 6 aritu aku dgn adik bela kucing jugak.
    nama arwah tu oleng.
    masa mula2 bela tu dah memang sakit.
    lepas 3 minggu bela dah meninggal.


    ubah lagu lagi nampak?
    teringat aku kat 1st love.
    haha

    ReplyDelete